Sabah & Sarawak: Apa Yang Berbeza

Grid lain (SESB / Sarawak Energy), tarif sendiri, skim berbeza — apa yang masih relevan dan apa yang perlu disemak sebelum pasang solar di Malaysia Timur.

Disemak 18 Ogos 2026 · oleh Abg Wan, Tun Wan Solar

Kebanyakan panduan solar di internet (termasuk beberapa halaman laman ini) diasaskan pada pengalaman Semenanjung: grid TNB, tarif RP4, skim NEM Rakyat dan SelCo. Kalau rumah anda di Sabah, Sarawak atau Labuan, TIGA perkara berbeza sekaligus — siapa yang jual anda elektrik, berapa harganya, dan skim mana yang terbuka untuk anda (disemak 18 Ogos 2026). Halaman ini jelaskan beza-beza tu supaya anda tidak guna angka Semenanjung pada bil Malaysia Timur.

PENJUAL ELEKTRIK: Sabah dan Labuan dilayan oleh SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) — majoriti milik TNB tapi entiti berasingan dgn grid sendiri. Sarawak dilayan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB), milik penuh kerajaan negeri — sistem kuasa hidro berat (Bakun, Murum, Batang Ai). TNB tidak menjadi pembekal rumah di dua negeri ini. Sebab itu proses permohonan solar, pemeriksaan meter dan changeover dilakukan dengan badan masing-masing, bukan saluran TNB.

TARIF: Sabah (SESB) dan Sarawak (SEB) ada struktur tarif domestik sendiri yang berbeza dari RP4 Semenanjung — komponen, ambang dan rebat tidak sama. Secara kasar, tarif domestik Malaysia Timur berada dalam julat yang setanding dgn Semenanjung, tapi JANGAN guna angka 44.4 sen/kWh atau jadual EEI dari topik-topik sebelum ini pada bil anda — kalkulator dan anggaran penjimatan di laman ini juga dibina atas tarif Semenanjung. Untuk angka tepat, rujuk portal SESB / Sarawak Energy atau bil terkini anda.

SKIM SOLAR: program kredit eksport (setara NEM Rakyat di Semenanjung) diuruskan mengikut negeri dan berbeza kuota, kadar dan syarat. Di Sabah, skim solar bumbung rakyat dikelolakan dgn kuota berasingan bawah SESB; di Sarawak, program solar bumbung SEB (termasuk skim komuniti pedalaman) ada saluran sendiri. KESAMAANNYA: prinsip asas tetap sama — kurangkan import siang, saiz ikut beban, eksport hanyalah bonus. Prinsip Fizikal (panel, mounting, bateri, DB) dalam laman ini adalah SEJAGAT — tiada beza fizik cara panel berfungsi di Kuching berbanding Klang.

APA YANG ANDA BUAT SEKARANG: (1) Kenal pasti pembekal anda (SESB / SEB) dan semak kategori tarif rumah anda dari bil terkini. (2) Gunakan topik-topik asas laman ini (kWp vs kWh, penyenggaraan, keselamatan, mounting) sepenuhnya — semua masih sah. (3) Untuk angka kewangan (penjimatan, payback, tarif), dapatkan kadar tempatan semasa — hubungi kami dgn gambar bil anda, kami bantu kira dengan kadar negeri anda. Kami berkhidmat di seluruh Malaysia; anggaran kewangan sentiasa dikemaskini mengikut negeri pelanggan.

Topik berkaitan